Friday, 23 April 2021

KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN

👉NAMA: FATIN NATASYA BINTI MOHD ROFIZI   

👉NO. MATRIK: D20201093396

👉NAMA PENSYARAH: DR. AZLI BIN ARIFFIN


          PENGURUSAN BILIK DARJAH


PENDAHULUAN

Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru untuk menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawabnya. Bilik darjah ialah persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, ruang, masa, alat atau bahan pembelajaran. Antara prasyarat yang paling utama bagi menjamin satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah aspek pengurusan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Di samping itu, pengurusan bilik darjah adalah satu kemahiran yang amat penting dan perlu dikembangkan oleh guru-guru bagi membolehkan guru mengurus pembelajaran dengan lebih berkesan. Setinggi mana pun ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang guru, akan menjadi sia-sia sekiranya tidak mampu untuk mengurus bilik darjah dengan baik. Secara umumnya, pengurusan bilik darjah bertujuan untuk mewujudkan suasana, keadaan atau persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

    Pada asalnya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti mahupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai, sudah tentu proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik akan menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan sebenarnya melibatkan pelbagai aspek seperti ciri peribadi seorang guru, rutin dan peraturan bilik darjah, serta hubungan antara aspek pengurusan dan pembelajaran.

Antara cara yang digunakan untuk mengurus bilik darjah ialah susunan fizikal, aktiviti pengajaran dan keadaan psikososial di dalam bilik darjah, bagi memastikan penggunaan masa yang efisien dan juga mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra, sekaligus mengurangkan masalah tingkah laku (Alberto & Troutman, 1986). 


KEMAHIRAN MENGURUS BILIK DARJAH

1.Pengurusan Persekitaran Fizikal Bilik Darjah  

Menurut Woolfok (2002), beliau berpendapat bahawa persekitaran bilik darjah yang melibatkan ruang, susun atur bilik darjah dan dimensi sosial mempengaruhi pembinaan budaya sesebuah bilik darjah. Terdapat beberapa jenis bilik darjah di negara kita iaitu bilik darjah tradisi di bawah program KLSR dan  KLSM, KBSR dan KBSM. Konsep bilik darjah pada masa kini ditafsirkan mengikut fungsi pendidikan atau ciri-ciri penyusunan fizikal. Pada dasarnya, sesebuah bilik darjah akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kerusi dan meja yang disusun mengikut kehendak aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta papan tulis dan alat bantu mengajar seperti lembaran kerja. Bagi mengekalkan persekitaran pembelajarannya positif dan berkesan kepada murid, guru perlulah memberi perhatian yang khusus kepada perkara-perkara berikut. 

TUJUAN:

💓Membenarkan guru memantau dengan mudah dan cepat.

💓Pemandangan murid lebih jelas dan tidak terhalang.

💓Ruang pergerakan yang selesa.

💓Wujud ruang untuk melalukan aktiviti-aktiviti tertentu.

💓Susunan kerusi dan meja murid yang fleksibel.


2. Pengurusan Psikososial dalam Bilik Darjah.

Ps Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Antara faktor yang mempengaruhi psikososial bilik darjah ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru dan bentuk komunikasi dan interaksi dalam bilik darjah. Misalnya, melalui pendekatan pengajaran, guru perlulah mengambil kira keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang berbeza. Di samping itu, gaya kepimpinan guru yang berbeza juga akan memberikan kesan kepada suasana pembelajaran pelajar. Kepimpinan autoritarian dapat mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman serta menekankan murid yang membuat kesilapan. Seterusnya, kemahiran komunikasi di dalam kelas amatlah penting kerana ia akan memberi peluang kepada guru beramah mesra dan berinteraksi dengan pelajar.

TUJUAN:

💛Mewujudkan suasana demokratik dalam bilik darjah.

💛Guru sebagai pendidik dan fasilitator.

💛Menimbulkan persekitaran saling mempercayai dan menghormati.

💛Menunjukkan contoh teladan yang baik.


3. Pengurusan Pembelajaran.

Pengurusan pembelajaran di bilik darjah berpusatkan kepada tiga bahagian iaitu guru, bahan dan pelajar. Sebagai contohnya, pembelajaran berpusatkan guru ini merupakan pendekatan yang mudah dirancang dan diurus. Hal ini kerana, pengajaran langsung bergantung kepada guru untuk mengarah pemikiran dan penglibatan pelajar. Di samping itu, pembelajaran berpusatkan pelajar pula ialah pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinnya. Kaedah ini memerlukan guru sebagai fasilitator dan pelajar akan terlibat secara aktif. Seterusnya, bagi pembelajaran berpusatkan bahan pula merujuk kepada seseorang guru yang perlu menggunakan bahan seperti buku, bahan lukisan, blok binaan, komputer dan sebagainya dalam sesei PdP di bilik darjah. Ia memberi penekanan terhadap penggunaan bahan-bahan. 


a) Aktiviti pengajaran berkumpulan.

    Menurut L.M. Smith (1969) pengajaran berkumpulan merupakan unit sosial yang terdiri daripada beberapa individu yang berinteraksi di antara satu sama lain, mempunyai nilai-nilai yang sama dan saling bergantung di antara mereka. Ia juga merupakan kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menajalankan aktiviti dalam kumpulan. Di samping itu, pengelompokan  murid dibuat berdasarkan peringkat kebolehan atau minat.

TUJUAN:

💚Pelajar yang mahir dapat membantu pelajar yang lemah.

💚Dapat membina softskill dalam diri pelajar.

💚Guru dapat mengenal pasti tahap kefahaman dalam diri pelajar.

💚Pelajar lebih selesa untuk bertanya soalan kepada rakan sebaya.

💚Menggalakkan penglibatan aktif individu.


b) Pusat pembelajaran.

     Pusat pembelajaran ini pula merujuk kepada ruang dalam bilik darjah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan yang dibina mengikut kreativiti guru dan juga pelajar. Di samping itu, ruang pusat pembelajaran ini diuruskan secara usahasama antara guru dan murid. Ianya bertujuan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara formal atau tidak formal. Sebagai contohnya, guru dan murid boleh menyediakan sedikit ruang di belakang kelas untuk dijadikan sebagai sudut belajar agar pelajar dapat melaungkan masa dengan melakukan perkara berfaedah seperti membaca dan mencari maklumat.

 

c) Pengurusan sumber.

      Pengurusan sumber di dalam bilik darjah juga amat penting kepada guru dan juga pelajar. Ini kerana, penyediaan sumber atau bahan pengajaran yang mencukupi akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contohnya ialah buku, rak buku, laci kabinet dan pelbagai lagi. Di samping itu, bahan pengajaran apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran merangkumi alat dan isi pengajaran. Sebagai contohnya ialah gambar, lembaran kertas fotostat, kaset, peta dan lain-lain. Ia digunakan sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna di samping menimbulkan minat dan semangat kepada pelajar.

 SIFAT-SIFAT BAHAN:

💗Mudah kendalikan

💗Jelas dan tepat

💗Menarik

💗Selamat digunakan

TUJUAN:

💜Menyediakan peluang pembelajaran yang efektif kepada pelajar.

💜Membantu murid memahami apa yang diajar.

💜Menyediakan pelajar kepada pemikiran aras tinggi.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, penguasaan guru dalam aspek pengurusan bilik darjah ini amat penting kerana ia mempengaruhi diri pelajar, guru dan suasana pembelajaran. Oleh itu, guru perlulah menguasai tiga faktor yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah, iaitu Ilmu, Strategi dan Kemahiran. Faktor-faktor ini perlu dikuasai oleh semua guru bagi emmastikan bilik darjah berada dalam keadaan terkawal. Tambahan pula, pengurusan bilik darjah juga berkaitan dengan aspek fizikal, mental dan murid di mana ia mempengaruhi keinginan mereka untuk sama ada belajar di dalam kelas atau tidak. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan menggalakkan tingkah-laku murid yang sesuai, membentuk suasana pembelajaran yang positif, menjalinkan hubungan interpersonal antara guru dan murid dan murid dengan murid serta meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti PdP.

    Secara keseluruhannya, setiap guru haruslah mengetahui maksud pengurusan bilik darjah secara mendalam dan cara untuk menguruskannya. Hal ini dapat membina sebuah organisasi yang baik di dalam bilik darjah.

 

RUJUKAN

Hasya Mocha. (2020). Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh pada 28 April 2021 daripada https://hasyamocha.wordpress.com/2020/07/16/pengurusan-bilik- darjah/ .


Katerina Boniface. (2021). Pengurusan Persekitaran Fizikal. Diperoleh pada  28 April 2021 daripada 

https://www.academia.edu/26772542/Pengurusan_Persekitaran_Fizikal .


Ridzuan Kamis. (2017, 6). Pengurusan Bilik Darjah Yang Berkesan. Pendidik. Diperoleh daripada https://www.pendidik.com.my/2017/06/09/pengurusan-bilik- darjah-yang-berkesan/ .

 



KPS3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN 👉NAMA:  FATIN NATASYA BINTI MOHD ROFIZI    👉NO. MATRIK: D20201093396 👉NAMA PENSYARAH: DR. AZLI BIN ARIFFI...